Ke laman utama GKLN

Wednesday, September 20, 2006

Panduan Penulisan Puisi 1

(Nota: segala puisi yang diambil sebagai contoh dipetik dari antologi puisi Al Andalus Menangis)


Satu kelemahan ketara yang berjaya dikesan di kalangan penulis-penulis baru ialah kemahiran menggunakan tanda baca, huruf besar dan pembinaan baris dan rangkap dalam sajak. Ramai penulis yang tidak menyedari akan kepentingan tanda baca dan huruf besar dalam penulisan puisi lantas gagal menyerlahkan kekuatan dan kematangan sajak tersebut, menjadikannya nampak lemah, klise, dan kurang mengesankan.

Antara tanda baca yang sering digunakan dalam pembinaan puisi ialah noktah (.) dan koma (,). Namun begitu penggunaan tanda baca lain seperti ( ; ). ( : ). Dan ( - ) juga dapat membantu penulis dalam menghasilkan puisi yang baik.

Satu tanggapan klise (mungkin secara luar sedar) para penulis baru ialah setiap baris PERLU diakhiri dengan koma dan dan noktah HANYA boleh diletakkan di hujung rangkap. Kesannya, puisi tersebut kelihatan seolah-olah terikat, kurang memikat, dan gagal menghasilkan kesan emosi kepada pembaca. Juga terdapat sesetengah penulis baru mengehadkan bilangan perkataan dan sukukata setiap baris sehingga kelihatan seperti sebuah pantun (walaupun begitu, sememangnya wujud puisi dalam bentuk begini yang dihasilkan dengan sangat baik sekali!).

Sebenarnya setiap baris tidak semestinya diakhiri dengan koma, selagi baris pertama dan kedua boleh dibaca dengan menyambung, yakni saling memerlukan untuk membawa maksudnya.

Contoh:
Rindu- tidak perlu kudakapi,
pergilah bersama bahtera noda,
kenangan silam semanis hempedu,
bak gumpalan awan hitam
menutup mentari cinta tenggelam.
(Puisi ‘Kembalilah Rindu, Cinta dan Hati’ karya Bint al Huda Kamarudin)

Baris kedua terakhir dalam puisi tersebut tidak diletakkan koma kerana ayat dua baris terakhir saling memerlukan untuk membawa maksud. Iaitu, baris ‘bak gumpalan awan hitam’ tidak membawa makna apa-apa, apakah signifikan awan tersebut? Tetapi ayat ‘bak gumpalan awan hitam menutup mentari cinta tenggelam’ membawa maksud awan hitam itu yang menutup mentari cinta.

Juga dalam keadaan yang lain, sesetengah penulis boleh menggugurkan penggunaan koma di tempat yang kebiasaannya ada koma. Hal ini bertujuan membantu dalam pengucapan (pembacaan puisi tersebut) dan memberi kesan emosi.

Contohnya: 1) buta hati buta jiwa.
2) saling melihat saling mendengar.
3) lihat kiri lihat kanan.

Begitu juga halnya penggunaan tanda noktah, tidak semestinya berada di hujung rangkap. Tanda noktah juga boleh berada di hujung baris (di tengah-tengah rangkap) bahkan boleh saja berada di tengah baris! Hal ini bergantung kepada keperluan, dan kreativiti penulis tersebut.

Contoh:

Seretlah pandangan dan sorotan,
lambailah jendela perjalanan
pasti akan nenggetus keinginan,
menerpa-nerpa terjahannya.
Lakarlah pertanyaan
‘Siapa diri?’…

(Puisi Retoris karya Fazleen Razali)

Dalam contoh tersebut, tanda noktah di hujung baris keempat dalam rangkap, bukannya di hujung rangkap sahaja.

Contoh:

Yang mengapung adalah buih yang melata
rapuh tanpa cinta satu umat
dan tekad seribu jasad. Kini perjalanan sejarah
yang Jauh meninggalkan madrasah nabawiyah…

(Puisi Al Wahn karya Fahd Razy)

Noktah dalam contoh ini diletakkan di tengah-tengah baris ketiga (dan tekad seribu jasad. Kini perjalanan sejarah).

Bagi penggunaan huruf besar pula, ramai yang gagal menggunakannya secara berkesan (samada secara sengaja atau sekadar ‘typing error’). Huruf besar hanya digunakan untuk kata nama khas, atau merujuk kepada sifat-sifat tuhan.

PENTING: penggunaan Nya, Mu, Kau, yang merujuk kepada tuhan perlu disertai (-) dan huruh besar.
Contoh:

1) aku memohon kepada yang Maha Berkuasa
2) mendambakan ampun dari Kekasih
3) kasih-Mu

Namun begitu, penulis-penulis sering mencampuradukkan penggunaan huruf besar, dan kadangkala menggunakan huruf besar bagi permulaan setiap baris, sedangkan baris sebelumnya hanya diakhiri koma. Walaupun hal ini tidak bersalahan (mungkin) dan selalu terdapat di dalam buku-buku dan media cetak, namun sebenarnya ini kelihatan sangat mengelirukan.

Contoh:

Aku memohon kepada yang Maha Berkuasa,
Dia juga mengharapkan inayah-Nya.

?? Adakah perkataan ‘dia’ itu merujuk kepada tuhan, atau makhluk? Sebetulnya ditulis begini

Contoh:
Aku memohon kepada yang Maha Berkuasa,
dia juga mengharapkan inayah-Nya.

KESILAPAN LAIN:

1)Penulis-penulis kerap memperlihatkan kelemahan apabila menggunakan tanda ( …..) pada sebarang tempat pada sajak. Sebaiknya, penggunaan noktah yang berulang tidak perlu sama sekali, sebaliknya digantikan dengan tanda noktah, koma, titik bertindih, sempang, dan sebagainya (HAL INI JUGA SAMA DALAM PENULISAN CERPEN!!!).

Contoh:

Pada-Mu tuhan… kubermohon sejuta ampun…

???sebtulnya ditulis begini

Pada-Mu tuhan, kubermohon sejuta ampun.

??? Namun begitu, jika penggunaan tanda noktah berturutan itu diperlukan juga maka hanya tiga titik berturut saja dibenarkan, tidak boleh lebih atau pun kurang (dua titik).

2)Kesilapan lain ialah penggunaan perkataan kau, ku, dan mu selepas atau sebelum kata kerja sering saja dijarakkan (terutamanya penggunaan KAU). Sebenarnya, perkataan kau, ku, dan mu bertindak serupa imbuhan dan perlu didekatkan apabila bertemu kata kerja.

Contoh yang salah:

1) Lautan itu telah kau renangi
2) Berikan pada ku
3) Akan ku sunting mawar itu
4) Ceriakan wajah mu

Contoh yang betul:

5) Lautan itu telah kaurenangi
6) Berikan padaku
7) Akan kusunting mawar itu
8) Ceriakan wajahmu