Ke laman utama GKLN

Friday, November 10, 2006

Panduan Penulisan Puisi GKLN II

Bengkel Penulisan Puisi GKLN II

Dalam penulisan puisi, untuk memberi kesan-kesan yang menarik dan mengesankan menerusi karya beberapa teknik/ kaedah boleh digunapakai. Teknik/kaedah ini kadangkala menjadi aset atau identiti penulis tersebut sehingga menjadikan karyanya unik dan cantik. Salah satu teknik puisi yang kerap digunakan ialah PENGULANGAN.

Di sini perlu diberi perhatian bahawa seorang penulis perlu memaksimumkan kreativitinya dalam menghasilkan karya. Meskipun teknik pengulangan sering digunakan, namun tidak ramai yang penulis-penulis baru yang dapat memanfaatkannya sehingga teknik itu nampak terlalu lemah, dan seolah-oleh penulis kekontangan idea.

Contoh teknik pengulangan yang lemah:

SATU
Pagi ini aku merindui
kampungku yang cantik
kampungku yang permai
kampungku yang tenang.

DUA
Ketika malam yang sepi itu
aku menangis kerinduan
Aku teresak-esak kepiluan
Aku sedih kesepian.


Dua contoh tersebut memperlihatkan seolah-olah penulisnya mengambil jalan singkat, merencatkan kreativiti (sekadar memperbanyak variasi) apabila cuba memanjangkan puisinya dengan menukar kata adjektif/kerja di hujung setiap baris. Namun begitu, tidak dinafikan banyak puisi-puisi yang menggunakan teknik pengulangan begini sangat cantik dan menarik! (Hal ini bergantung pula pada pemilihan diksi, metafora, dan lain-lain dalam sajak tersebut).

Antara perkara yang perlu diberi perhatian sewaktu menggunakan teknik pengulangan:
1) pemilihan perkataan perlu sesuai dari segi rima dan makna.

Contoh rangkap

“kampungku yang cantik
kampungku yang permai”

lebih baik digantikan….

“kampungku yang damai
kampungku yang permai”
(rangkap kedua lebih lancar dari segi rimanya)

2) Pengulangan tak semestinya ditulis pada baris berbeza

Contoh:
“kampungku yang cantik
kampungku yang permai
kampungku yang tenang”

boleh juga ditulis:

“kampungku yang cantik, yang permai
kampungku yang damai.”

Atau

“kampungku yang cantik, yang permai
dan damai”


3) pengulangan tak semestinya menggunakan perkataan atau susunan perkataan yang sama dengan yang sebelumnya. Boleh juga digunakan sebagai penegasan. Contoh-contoh pengulangan dari penulis mapan:

SATU

Iqra bagai hujan maha lebat membedal Batu Hira’
kauteguk sejuknya dalam getar dingin dan takut,
takut dan gigil

(Sajak Muhammad Dengan Iqra karya Amin Minhad)

DUA

Allahurabbi, kusebut nama-Mu bertalu
ilmu cetek amalan yang sedikit kuhimpun,
kuhimpun juga

(Sajak Doa Subuh karya Rahimidin Zahari)

TIGA

Di atas hamparan penyerahan dan perburuan
Segalanya menjadi hening dan merayu
hening dan merayu, hening dan merayu
dalam getar busar amal menuju lapis rahsia langit kudus

(Sajak Munajat Tumpah di Atas Sejadah karya Amin Minhad)

EMPAT

Jemputlah kesal bertandang
agar ia menjadi saksi bahawasanya
Sang rindu cintakan mawaddah
Sang cinta rindukan maghfirah
Sang hati mendamba barakah
Bimbinglah ke laman al-fitrah

(Sajak Kembalilah Cinta, Rindu, dan Hati karya Bint Al Huda Kamarudin)

LIMA

Adalah rukuk ini kerendahanku
sujud ini kehinaanku
tasyahud ini pengabdianku
munajat ini adalah ribu-ribu kasihku
yang tumpah
yang melimpah-limpah di sejadah

(sajak Nota Kecil Di Hujung Isyak karya Fahd Razy)


4) Paling penting perlu diingat, penulisan puisi dan cerpen adalah manifestasi kreativiti!!! Gunakan saja apa saja teknik pengulangan yang kreatif, selagi berhasil mengungkap maksud dan emosi dengan lebih berkesan dan mengesankan!



Sebagai panduan, di sini saya paparkan contoh puisi yang menggunakan teknik pengulangan. Lihatlah bagaimana pentingnya teknik pengulangan ini sehingga dapat membentuk sebuah puisi yang lengkap ! (Dalam tulisan yang sebenar di dalam yahoogroupp GKLN terdapat puisi-puisi yang berbeza- yang pastinya lebih dan sangat cantik dalam mempamerkan fungsi teknik pengulangan ini, tapi atas sebab tertentu puisi tersebut tidak dituliskan di sini.)



SEKETIKA AKU MEMBACA BAHASA KEBESARAN-MU
(Fahd Razy, Mingguan Malaysia)

Seketika aku menjentik maujud gunung-Mu;
yang bergetar itulah kerdil insaniku.

Seketika aku menghembus gejolak mentari-Mu;
yang terpadam itulah ketakburan batiniku.

Seketika aku menghambat keliaran angin-Mu;
yang rebah itulah gelojoh peribadiku.

Seketika aku membakar pesona bulan-Mu;
yang garing itulah ghairah duniawiku.

Seketika aku meneroka tegar belantara-Mu;
yang terkoyak itulah nafsu manusiawiku.

Jua seketika aku mengintai khazanah langit-Mu
masih tak terbaca tafakur ketinggian rahsia itu;
tabir ruhi yang tak terjangkau
oleh indera dan intuisi. Berjuta-juta
bahasa kebesaran-Mu, yang tertanam
itulah sepotong hamdalah
bertumbuh menjadi sepulau nuraniku.